Wednesday, October 1, 2014

Peraturan Baru Cermin Gelap Kenderaan


Peraturan Baru Cermin Gelap Kenderaan

AYER KEROH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan peraturan baharu berkaitan penggunaan cermin gelap bermula 1 November ini.

Peraturan baharu ini menyaksikan ketelusan cahaya yang dibenarkan untuk sisi penumpang belakang dan bahagian belakang diturunkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus.

Bagaimanapun, ketelusan cahaya yang dibenarkan bagi cermin hadapan dan sisi pemandu pula masing-masing kekal pada kadar 70 peratus dan 50 peratus.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pemindaan peraturan itu adalah mengikut standard antarabangsa.

Katanya, peraturan baharu itu tertakluk kepada semua rakyat Malaysia dengan pengecualian diberikan kepada beberapa pihak atau disebabkan atas alasan kukuh.

"Pengecualian diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalannya, Ketua Menteri, Menteri Besar, Ketua Hakim dan Menteri.

"Begitu juga dengan jabatan berisiko tinggi seperti Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia yang melakukan operasi berbahaya," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan anggota penguat kuasa JPJ bahagian zon selatan di Seri Negeri, di sini, sebentar tadi.

Ismail berkata, pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan baharu itu boleh dikompaun RM300 dan sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara dua minggu atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.-BH-
1 comments for "Peraturan Baru Cermin Gelap Kenderaan "