Wednesday, October 1, 2014

Gambar Suspek Godam Mesin ATM Didedah

Gambar Suspek Godam Mesin ATM Didedah

SHAH ALAM – Polis hari ini mendedahkan gambar-gambar suspek dalam siri insiden kehilangan wang dari beberapa buah mesin ATM di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazerene berkata, pihaknya telah memulakan siasatan dan melancarkan operasi khas, ‘Ops Albatross’ untuk mengesan dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.


“Siasatan awal menunjukkan bahawa terdapat beberapa lelaki yang dipercayai warga asing, telah membuka panel bahagian atas ATM dengan menggunakan ‘common key’, kemudiannya, satu cakera padat (CD) dimasukkan ke dalam CD-ROM yang terdapat di dalam mesin berkenaan untuk menyuntik Malware yang dikenali sebagai ‘ulssm.exe’.


“Selepas mengeluarkan CD, panel akan ditutup semula dan ahli sindiket akan mengeluarkan kesemua wang di dalam ATM tersebut menggunakan panel kekunci dengan memasukkan kod tertentu yang diterima melalui panggilan telefon daripada rakan sejenayah.


“Slot kad ATM akan disumbat dengan objek berupa kad sim, kertas ataupun puntung rokok bagi menyekat akses pengeluaran wang oleh pengguna lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Dalam kenyataan sama, beliau memohon kerjasama orang ramai untuk tampil membantu siasatan.


“PDRM komited untuk membanteras jenayah ini sehingga ke akar umbi bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi kewangan tempatan.


“Sehubungan itu, PDRM turut memohon kerjasama anggota masyarakat untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan polis.


“Sila hubungi Senior Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din di talian 019-6000135 atau 03-26163839 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah ini,” katanya.


Semalam, polis melaporkan satu sindiket dipercayai dari Amerika Latin melarikan wang tunai lebih daripada RM3 juta, setelah menggodam 17 mesin ATM di Selangor, Melaka dan Johor.-Sinar-
2 comments for "Gambar Suspek Godam Mesin ATM Didedah"

wow blog ni hebat pada pandangan Etuza..etuza dah linkkna ya

ni la diaorg..dtg malaysia buat kerja jahat