Monday, October 13, 2014

Dua Polis Maut Pondok Dihempap Pokok Tumbang

Dua Polis Maut Pondok Dihempap Pokok Tumbang 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Dua anggota polis maut setelah sebatang pokok besar tumbang lalu menghempap mereka ketika berada di dalam sebuah kontena yang dijadikan tempat simpanan barang kes di Jalan Bellfield, Kampung Attap dekat sini, hari ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7 malam semasa hujan lebat dan angin kencang.

Mangsa ialah Konstabel Mohd. Shahril Hisham Hashamdi, 25, yang meninggal dunia di tempat kejadian manakala Koperal Dzulkhairi Ahmad, 48, ketika dalam perjalanan ke hospital.

Kedua-duanya merupakan anggota Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pasukan penyelamat dimaklumkan berhubung kejadian pada pukul 7.09 malam dan seramai 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah dan Sungai Besi di sini, dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa turut meluangkan masa menziarahi keluarga kedua-dua mangsa di HKL.-Utusan Online-



0 comments for "Dua Polis Maut Pondok Dihempap Pokok Tumbang "